Isnin, 18 Mei 2009

PENGAJARAN BACAAN AWAL

Pengajaran Bacaan Awal Bahasa Melayu Menggunakan Kaedah Gabungan Bunyi Kata Kepada Pelajar Pemulihan Khas Sekolah Menengah

Oleh;
Jamaluddin Bin Abdul Rahman

1. Pendahuluan
Bila dikatakan ‘Sekolah Menengah’ bererti meliputi tingkatan satu hingga tingkatan enam dan ‘bacaan’ merupakan kemahiran yang terpenting, bukan sahaja terhadap kebolehan membaca itu sendiri, tetapi seterusnya untuk seluruh pembelajaran murid-murid itu. Kegagalan menguasai kemahiran asas membaca ini merupakan sesuatu yang amat merugikan bagi seseorang murid bukan saja pada masa persekolahan bahkan pada masa kehidupan dewasa murid-murid berkenaan.

Menurut Isahak Harun (2004) terdapat dua mazhab besar tentang cara kanak-kanak mula membaca; Beliau mendefinisikan bacaan sebagai tentang bagaimana kanak-kanak mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi makna kepadanya. Mazhab pertama merujuk kepada perspektif linguistik yang berasaskan kepada anggapan bahawa bahasa terdiri daripada ‘bunyi’ dan adunan bunyi yang menjadikan perkataan.

Mazhab ini mengajar kanak-kanak membaca bermula dengan menghafal simbol-simbol yang mewakili bunyi asas ini (fonem), iaitu huruf abjad dan bunyi-bunyi huruf tersebut. Kaedah ini juga dikenali sebagai pendekatan fonik. Di Malaysia kaedah ini sinonim dengan kaedah abjad iaitu kaedah mengenal nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan bahasa Melayu. Kaedah ini menegaskan hafalan-hafalan yang agak kurang bermakna bagi kanak-kanak.

Mazhab kedua berasaskan kepada teori psikologi kognitif yang beranggapan bahawa kanak-kanak belajar bahasa melalui ‘perkataan-perkataan’ dan ayat yang bermakna kepadanya. Murid-murid membaca bermula dengan melihat seluruh perkataan dan ayat yang bermakna.Kaedah ini dikenali sebagai kaedah seluruh perkataan (whole word) atau kaedah pandang dan sebut. Variasi lanjutan daripada kaedah ini adalah kaedah frasa, kaedah ayat dan kaedah cerita (Isahak Harun, 1989).

Pandangan daripada mazhab-mazhab ini mencetuskan kepada kaedah pengajaran awal asas membaca yang pelbagai di Malaysia. Antara kaedah yang telah digunakan di Malaysia ialah kaedah campuran, Kaedah DBP, Pendekatan Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum (PEBAS), Kaedah Atan Long, Kaedah cerakin, kaedah eklektik, kaedah abjad, dan Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) . Kaedah-kaedah yang digunakan ini mempunyai kekuatan dan kelemahan yang boleh digunakan kepada murid-murid pemulihan khas.

Murid-murid pemulihan khas juga seorang individu dan anggota masyarakat. Jadi murid-murid ini juga memerlukan pendidikan asas termasuklah belajar membaca. Maka pemulihan khas bertujuan untuk memberi ‘rawatan’ yang diharapkan dapat ‘mengubati’ pelajar lambat ini (Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon, 1992). Seterusnya satu kaedah yang tepat perlulah dikenalpasti bagi mengatasi masalah ini. Penulis amat berminat dengan Kaedah Gabungan Bunyi Kata yang dirasakan begitu istimewa untuk mengajar murid-murid pemulihan khas membaca di peringkat sekolah menengah.

2. Kaedah Gabungan Bunyi-kata (KGBK)
2.1. Latar belakang

Kaedah Gabungan Bunyi-kata ini diilhamkan oleh Profesor Dato’ Dr. Isahak Harun yang dinyatakan melalui pembentangan kertas kerja di KONPEN IV anjuran Persatuan Suluh Budiman di Kuantan, pada 8 hingga 10 Disember 1979. Beliau telah memperkenalkan kaedah ini sebagai cadangan untuk mengatasi masalah membaca banyak murid di sekolah rendah, terutama di sekolah kebangsaan yang tidak boleh membaca. Rentetan itu kertas kerja tersebut telah diterbitkan dalam Jurnal Dewan Bahasa, jilid 24 bil. 7, Julai 1980.

Kaedah ini turut dijadikan salah satu kaedah pilihan (ke-4) dalam buku panduan am, kurikulum baru sekolah rendah (KBSR) terbitan Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1981. Seterusnya kaedah ini telah dijadikan asas untuk panduan guru Bahasa Malaysia (KBSR) Tahun Satu untuk sekolah SRKJ Cina dan SRKJ Tamil pada Jun 1981. Namun begitu, kaedah ini tidak digunakan di sekolah kebangsaan untuk mengajar bacaan asas pada Tahun Satu. Selain itu juga, kaedah KGBK digunakan oleh tadika swasta di Bandar-bandar seluruh Malaysia dengan menggunakan buku ‘Kegiatan Tadika 2 Bahasa Malaysia, Mari Membaca’ yang diterbitkan oleh Fajar Bakti (Isahak Harun, 2004).

2.2. Asas Kaedah Gabungan Bunyi-Kata

Kaedah ini merupakan satu kaedah yang sistematik. Menurut Isahak Harun (2004) perlunya mengambil kira perkara-perkara berikut;

2.2.1: Sistem ejaan Bahasa Melayu adalah ‘alphabetic’ dan fonemik . Hal ini menjelaskan
bahawa adanya hubungan yang rapat antara simbol atau huruf dan bunyinya. Hal
ini berbeza dengan sistem ejaan Bahasa Inggeris yang bercelaru.

2.2.2: Suku kata ejaan Bahasa Melayu adalah mudah dan jelas, jika dibandingkan dengan
bahasa-bahasa lain.

2.2.3: Murid-murid Melayu telah mempunyai perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu
yang mencukupi untuk mereka belajar membaca dalam Bahasa Melayu. Begitu
juga dengan murid Cina dan India rakyat Malaysia yang sudah mempunyai
perbendaharaan kata Bahasa Melayu terutamanya diperingkat sekolah menengah.
Seterusnya hal ini menjelaskan bahawa tidak sesuai digunakan kaedah yang
digunakan mengajar bahasa kedua seperti Bahasa Inggeris untuk mengajar bahasa
pertama yang berbeza.

Unsur membunyikan huruf dengan membina dan membaca perkataan boleh digabungkan dalam sesuatu pengajaran-pembelajaran membaca. Susunan bahan-bahan adalah secara ‘developmental’, kumulatif dan sistematik. Hal ini memudahkan guru-guru mengajar dan memudahkan murid belajar membaca dan menulis. Pendekatan gabungan dan susunan bahan secara kumulatif tidak mungkin berlaku dalam pendekatan abjad/ fonik, pendekatan seluruh perkataan atau pendekatan eklektik yang digunakan pada masa ini.

Gabungan mengenal bunyi huruf dengan membina-dan-membaca perkataan dalam satu atau dua pelajaran, dan murid terus membaca perkataan, frasa atau ayat. Hal ini yang membezakan KGBK dengan kaedah-kaedah lain yang berpegang kepada dua mazhab utama awal membaca. Selain itu, KGBK dibina atas keistimewaan ejaan Bahasa Melayu yang fonemik dan sistematik dan suku kata yang jelas. Di samping itu juga, pemilihan susunan abjad yang diajar telah dikenalpasti melalui kajian yang menyeluruh berdasarkan kepada yang mudah, dekat dengan kanak-kanak dan tidak mengelirukan.

2.3: Ciri-ciri


2.3.1: Murid-murid tidak perlu diajar semua abjad dalam sistem ejaan Bahasa Melayu
sebelum mereka boleh diajar membaca.

2.3.2: Menggabungkan kemahiran bunyi beberapa abjad, suku kata dan membaca
perkataan/ frasa/ ayat bermakna dalam satu atau dua pelajaran.

2.3.3: Gabungan dibuat secara sistematik, dan tiap-tiap pelajaran berikutnya beransur-
ansur memperkembangkan kemahiran sebelumnya.

2.3.4: Kad imbasan amat diperlukan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti
yang disarankan.

2.3.5: Untuk peneguhan kemahiran murid-murid membaca mereka perlu diberi bahan-
bahan bacaan yang berperingkat-peringkat supaya mereka dapat melatih membaca
sendiri. Bahan-bahan bacaan yang sesuai perlu disediakan untuk murid-murid
sentiasa dekat dengan membaca.

3. Cara Mengajar Menggunakan KGBK

Kaedah Gabungan Bunyi Kata menyenaraikan beberapan abjad vokal dan konsonan yang perlu diajar mengikut tertibnya. Huruf vokal yang mula-mula diajar ialah

‘a i u’

dan susunan konsonan berikut;

b k c s t m n g l j h y f w q v z


Untuk menjelaskan kaedah ini, Isahak Harun (1979) menggariskan beberapa langkah berikut;

i. Mulakan dengan memperkenalkan bunyi tiga huruf vokal a, i dan u. Dengan menggunakan kad imbasan. Buat latihan membunyikan huruf itu beberapa kali, selang seli.

ii. Kemudian perkenalkan pula bunyi dua atau tiga huruf konsonan, misalnya b, dan k. dengan menggunakan kad imbasan, dan buat latih tubi beberapa kali supaya murid dapat menyebutkan bunyi tiap-tiap simbol itu dengan jelas.

iii. Gabungan bunyi tiap-tiap huruf konsonan dengan huruf vokal supaya menjadi suku kata.

ba bi bu
da di du
ka ki ku

seterusnya bentukkan beberapa perkataan yang bermakna;

da da dada
ba ba baba
bu bu bubu
ku ku kuku

Ulang ini beberapa kali, kemudian gabungkan dua perkataan menjadi ayat dan latih murid-murid membacanya:

dada baba
bubu baba
kuku baba



iv. Perkenalkan gabungan lain;

a da ada
a ku aku
ku da kuda
bu ku buku
bu ka buka

suruh murid-murid membaca ayat-ayat berikut daripada beberapa perkataan di atas;

baba ada buku
baba ada kuda
baba ada bubu
baba buka buku

kemudian gantikan ‘baba’ dengan ‘aku’ dan ulang membacanya. Seterusnya baca ayat-ayat berikut;

kuda dia
kuda baba
kuda aku/ ku

Gantikan ‘kuda’ dengan ‘buku’, ‘kuku’ dan ulang bertubi-tubi dengan kad imbasan.

v. Perkenalkan gabungan bunyi lain seterusnya.

i bu ibu
bu di budi
u da uda
budi ibu
budi ibuku
budi uda
da a dia
ka ki kaki
kaki dia
kaki ibun
kaki kuda

suruh murid membaca ayat-ayat yang menggunaka berbagai-bagai perkataan yang dicipta;

ibu buku buku uda
baba uda bubu
udaku ada kuda
dia kaki kuda


vi. Seterusnya, bolehlah pula diperkenalkan bunyi konsonan yang lain mengikut susunan yang telah ditetapkan. Galakkan murid-murid mengenal sendiri perkataan-perkataan baru dengan membuat latih tubi.

vii. Akhir sekali bolehlah diperkenalkan bunyi gugusan dalam ejaan bahasa Melayu seperti;

ng bising, datang, sayang
nga nganga, singa
sy, sya syarat , syarikat
gh (gha) nyanyi, nyaring, punya


Selain itu, prinsip yang perlu diingati ketika menggunakan kaedah ini adalah;

i. Memperkenalkan terlebih dahulu vokal dan konsonan yang kerap digunakan dalam ejaan Bahasa Melayu, kemudian baru perkenalkan yang kurang digunakan. Hal ini bermakna tidak perlu memperkenalkan huruf dan bunyi mengikut susunan biasa dalam abjad (a-z).

ii. Susunan nama-nama huruf dan cara menulis huruf besar boleh dibuat secara tidak langsung kemudian.

iii. Tidak perlu memisah-misahkan dengan jauh dan jelas antara langkah mengajar bunyi huruf, bunyi suku kata dan sebutan perkataan. Boleh digabungkan dalam satu pelajaran.

iv. Memerlukan latihan membunyikan dan memandang huruf, suku kata dan perkataan tertulis. Dengan itu penggunaan kad imbasan dan papan hitam amat diperlukan.

v. Kaedah ini juga cuba untuk mengurangkan penggunaan gambar kerana mengganggu tumpuan murid membunyi dan memandang lambing-lambang bunyi, suku kata dan perkataan dengan cepat. Hal ini bertujuan supaya murid-murid mendapat kemahiran-kemahiran asas untuk membaca sendiri perkataan-perkataan baru dan seterusnya bahan-bahan bacaan secara berperingkat-peringkat.

vi. Latihan dan ulangan yang munasabah dan beragam amatlah penting untuk mengukuhkan kemahiran.

vii. Latihan menulis bolehlah dilakukan selepas tiap-tiap latihan membaca. Latihan menulis berdasarkan perkataan-perkataan yang dibaca supaya boleh meneguhkan kemahiran membaca.
4. Mengajar Menggunakan Kaedah KGBK Murid Pemulihan Khas di Sekolah
Menengah


Murid pemulihan khas sekolah menengah berbeza dengan kanak-kanak yang mula-mula belajar membaca. Pengalaman penulis mengajar murid-murid pemulihan khas telah berjaya mengenalpasti perbezaan tersebut. Penulis telah menggunakan dua orang murid pemulihan khas untuk mengajar membaca. Oleh itu, guru perlu menyedari bahawa murid-murid sekolah menengah adalah berbeza daripada segi pendedahan kepada membaca.

Biasanya murid-murid di sekolah menengah telah belajar membaca dan semestinya terdedah kepada kaedah-kaedah awal membaca yang lain. Antara yang dikenalpasti aspek yang telah dikuasai oleh murid-murid pemulihan khas di sekolah menengah adalah;

i. Sudah mengenal abjad dalam sistem ejaan Bahasa Melayu ( a – z) sama ada semua atau sebilangan sahaja.
ii. Sudah boleh menyebut nama-nama abjad dalam sistem ejaan Bahasa Melayu.

iii. Sudah boleh menyebut bunyi abjad mudah dan biasa digunakan.
iv. Sudah boleh mengeja suku kata terbuka.
v. Sudah boleh membatang suku kata terbuka.

Didapati juga bahawa murid-murid yang tidak menguasai aspek-aspek di atas mempunyai masalah yang lain seperti terencat akal atau masalah-masalah kecacatan lain.

Aspek- aspek yang perlu disedari untuk mengajar membaca menggunakan KGBK di sekolah menengah adalah;

i. Murid akan mengeja suku kata atau perkataan yang dibaca dengan menyebut nama abjad. Guru perlulah membiasakan murid menyebut bunyi huruf bukannya nama abjad. Namun begitu, guru perlulah mengelakkan daripada terlalu banyak menegur murid dalam aspek ini dan lebih utama murid menguasai kemahiran. Dengan itu, guru boleh membiarkan sahaja murid membaca cara yang biasa kepada mereka.
ii. Murid akan terganggu dengan kaedah baru bagi mereka. Oleh itu, perlulah guru banyak menggunakan latih tubi untuk membiasakan mereka.
iii. Murid inginkan aktiviti menulis. Oleh itu, menulis boleh dijalankan untuk tujuan sebagai pengukuhan.
iv. Guru membantu membentuk perbendaharaan kata murid-murid kerana biasanya murid-murid pemulihan khas mempunyai perbendaharaan kata yang sedikit.

Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh seseorang guru ialah menjalankan ujian diagnostik yang bertujuan untuk mengetahui tahap pencapaian sebenar murid. Ujian diagnostik kaedah ini telah dibina oleh Profesor Dato’ Dr. Isahak yang dibahagikan kepada 12 tahap. Tahap-tahap ini dibahagikan kepada tahap-tahap berdasarkan kepada penguasaan mengenal huruf, suku kata, perkataan dan frasa (rujuk lampiran A). Biasanya murid di sekolah menengah sudah menguasai beberapa tahap membaca. Setelah dikenalpasti tahap pencapaian barulah pengajaran sebenar dapat dlakukan.

5. Dapatan

5.1: Kekuatan

Penulis memilih KGBK kerana keistimewaan yang terdapat dalam kaedah ini yang dilihat dapat membantu murid-murid pemulihan khas untuk menguasai kemahiran membaca. Antara kekuatan dan keistimewaan kaedah ini adalah;

i. Sesuai dengan sistem ejaan Bahasa Melayu yang fonik dan suku kata yang jelas.
ii. Murid-murid tidak terbeban dengan menghafal abjad.
iii. Susunan bahan secara developmental, kumulatif dan sisitematik memudahkan guru mengajar dan murid belajar.
iv. Menarik minat dan tidak menjemukan kerana murid belajar bunyi huruf, suku kata, perkataan dan frasa dalam satu pelajaran.
v. Murid-murid tidak perlu mengeja dan membatang.
vi. Tidak memerlukan bahan Bantu mengajar yang banyak dan tidak susah untuk dibina. Bahan Bantu mengajar utama ialah kad imbasan dan papan hitam.
vii. Sesuai dengan murid pemulihan khas kerana tidak memerlukan hafalan.
viii. Menekankan aspek bahasa berirama yang menarik minat murid-murid.
ix. Boleh disesuaikan dengan lain-lain kaedah seperti kaedah bercerita.
x. Penggunaan ICT boleh digunakan dengan meluas dalam mengajar menggunakan kaedah ini.
xi. Murid-murid pemulihan khas di sekolah menengah boleh menguasai kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding menggunakan kaedah yang biasa.

5.2: Kelemahan

i. Murid sudah biasa menggunakan kaedah lain seperti kaedah abjad akan menyebabkan berlakunya kekeliruan. Hal ini juga menjejaskan kebolehan murid tersebut dan terpaksa bermula semula.
ii. Murid sukar membezakan antara bunyi abjad dengan nama abjad.
iii. Sukar menyebut bunyi abjad tertentu dan mengganggu pembelajaran.
iv. Sukar mencari contoh perkataan yang sesuai dengan konsonan yang telah diajar.
v. Murid tidak memahami maksud perkataan yang telah dibina dan memerlukan penjelasan daripada guru. Murid-murid pemulihan khas sukar untuk memahami maksud perkataan dan memerlukan bahan maujud atau gambar untuk membantu penerangan. Hal ini menunjukkan bahawa murid-murid tidak mempunyai perbendaharaan yang cukup.

5.3: Dapatan-dapatan lain
i. Kemahiran-kemahiran asas bacaan perlu diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum murid dapat membaca frasa.
ii. Murid-murid lebih mudah memguasai kemahiran jika diajar secara individu berbanding secara kumpulan atau kelas.
iii. Lebih mudah mengajar murid-murid yang tidak tahu apa-apa daripada murid-murid yang telah menguasai beberapa kemahiran asas seperti mengeja dan membatang.
iv. Latih tubi adalah aspek yang perlu diutamakan.
v. Gabungan dengan kaedah bercerita banyak membantu penguasaan kemahiran dan ingatan murid-murid.

Penutup

Sebenarnya kajian mengajar menggunakan Kaedah Gabungan Bunyi-kata di peringkat sekolah menengah belum lagi dijalankan. Apa yang dilakukan oleh penulis dalam menyediakan kertas kerja ini ialah pengalaman penulis mengajar murid-murid pemulihan khas di sekolah penulis mengajar. Pada mula penulis mengajar menggunakan kaedah fonik tetapi kesannya begitu lambat dan mengambil masa. Selain itu juga, terlihat sikap murid-murid yang boring dengan apa yang diajar. Perkara ini lumrah kerana murid-murid terpaksa menghafal perkara yang sama iaitu abjad ‘a hingga z’ semenjak di sekolah rendah lagi.
Murid-murid juga mungkin berasa rendah diri kerana masih membaca ‘abc’. Dengan menggunakan KGBK kata ini murid-murid berasakan satu kelainan dan mereka sudah mampu untuk membaca buku cerita yang mudah. Keyakinan murid-murid dapat ditegarkan suapaya kemahiran asas ini dapat dikuasai.
Tuntasnya, penulis mendapati Kaedah Gabungan Bunyi-kata mampu mempercepatkan penguasaan kemahiran menulis murid pemulihan khas di sekolah menengah. Hal ini dibuktikan dengan kejayaan murid-murid penulis yang kini mampu membaca dengan lancar buku cerita mudah termasuklah buku cerita yang mempunyai suku kata tertutup.
Penulis hanya mengajar lebih kurang tiga bulan; secara formal seminggu sekali dan pada masa pembelajaran biasa dalam kelas. Pembelajaran formal selama 40 minit dan melibat waktu khusus untuk murid-murid pemulihan khas sahaja. Manakala pembelajaran biasa dalam kelas adalah pengajaran pemulihan dalam kelas biasa di samping mengajar sukatan pelajaran biasa.
Oleh itu, keperluan untuk kajian terhadap keberkesanan KGBK kepada murid-murid pemulihan sekolah menengah perlu dilakukan. Hal ini penting untuk mendapat hasil kajian dan dapatan yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi. Sebenarnya di sekolah menengah banyak bilangan murid-murid yang belum menguasai kemahiran asas membaca. Terutama untuk memenuhi tuntutan difinisi boleh membaca iaitu mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi makna kepadanya. Selain itu yang memerlukan murid-murid memahami apa yang dibaca bukan setakat bunyi-bunyi abjad dan gabungan bunyi-bunyi abjad.

BIBLIOGRAFI

Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman (2003). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum.
Tanjung Malim: Quantum Books.
Azman Wan Chik (1979). Mengajar Bahasa Malaysia. Jilid 1: Perkaedahan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chua Tee Tee & Koh Boh Boon (1992). Pendidikan Khas dan Pemulihan: Bacaan Asas.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Isahak Harun (2004). Laporan Kajian Awal Membaca Bahasa Melayu. Tanjung Malim:
UPSI.
Isahak Harun (2006). Mudah Membaca Bahasa Melayu: Edisi Guru 1. Shah Alam:
Penerbit Fajar Bakti.
Isahak Harun (2006). Mudah Membaca Bahasa Melayu: Edisi Guru 2. Shah Alam:
Penerbit Fajar Bakti.
J.S. Farrant (1971). Principles and Practice of Education. London: Longman Group
Limited
Wiley Blevins (1998). Phonics From A to Z: A Practical Guide. New York: Professional
Books.

PESANAN LUQMAN HAKIM

Lukmanul Hakim dikenali sebagai manusia yang sering meninggalkan peringatan serta manfaat menerusi kata-katanya. Beliau merupakan seorang bapa yang sentiasa menasihati anaknya dengan kata-kata berhikmah. Dan kata-kata itu adalah wajar diambil iktibar oleh kita semua.Pernah suatu ketika, beliau mengajak anaknya keluar ke pasar. Beliau mengenderai seekor keldai manakala anaknya pula mengekorinya dengan berjalan kaki. "Teruknya orang tua ini, anaknya yang kecil dibiarkan berjalan kaki sedangkan dia bersenang-lenang menunggang keldai," kedengaran suara dari sekumpulan manusia yang melihat mereka." Wahai anakku, dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan itu?" tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya."Dengar ayah," jawab anaknya sambil mengangguk-anggukkan kepalanya."Sekarang engkau naiklah ke atas keldai ini, biar ayah menariknya," katanya sambil mengangkat anaknya ke atas belakang keldai."Nampakkah kalian betapa anak yang tak pandai mengenang budi ayahnya yang sudah tua. Disuruhnya ayahnya menarik keldai sedangkan dia yang masih muda menunggangnya, sungguh tidak patut," kata sekumpulan manusia lain yang mereka temui di tengah, perjalanan."Dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan?" tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.Anaknya mengiyakan pertanyaannya itu."Sekarang engkau turun dari keldai ini, dan kita sama-sama berjalan kaki," kata Lukmanul Hakim. Anaknya segera turun dari keldai.Tak berapa lama kemudian mereka bertemu pula dengan sekumpulan manusia yang lain. "Alangkah bodohnya orang yang menarik keldai itu. Keldai untuk dikenderai dan dibebani dengan barang-barang, bukan untuk diseret seperti lembu dan kambing," kata mereka."Dengarkah engkau apa yang mereka kata?" tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya lagi."Dengar ayah.""Kalau begitu marilah kita berdua naik ke atas belakang keldai ini,"Tidak berapa lama selepas itu mereka terdengar perbualan sekumpulan orang yang lain pula. "Sungguh tidak bertimbang rasa mereka ini, keldai yang kecil ditunggangi berdua!" kata mereka.Lukmanul Hakim lalu bertanya kepada anaknya, "Adakah engkau dengar apa yang mereka perkatakan?""Ya ayah, saya dengar.""Kalau begitu marilah kita dukung keldai ini," kata Lukmanul HakimDengan bersusah payah mengikat keempat-empat kaki, akhirnya mereka berjaya mendukung keldai itu. Dan dalam keadaan itu jugalah mereka mula berjalan, dengan bebanan menanggung seekor keldai. Apabila orang ramai melihat gelagat mereka berdua, mereka ketawa terbahak-bahak. "Ha! ha! ha! Hei! Lihatlah orang gila mendukung keldai!""Dengarkah engkau apa yang mereka katakan?" dia bertanya kepada anaknya lagi."Dengar ayah," jawab anaknya.Mereka meletakkan keldai itu ke tanah. Beliau pun menyatakan hikmah di sebalik peristiwa tadi, "Anakku, begitulah lumrah manusia. Walau apapun yang engkau lakukan, engkau tidak akan terlepas dan kata-kata mereka. Tak kira benar atau salah, mereka tetap akan mengata.""Ingatlah anakku bila engkau bertemu kebenaran janganlah engkau berubah hati hanya kerana mendengar kata-kata orang lain. Yakinlah dengan din sendiri dan gantung harapanmu kepada Allah."Lukmanul Hakim pernah berwasiat kepada anaknya sebelum beliau meninggalkan dunia yang fana ini. "Wahai anakku, janganlah engkau makan kecuali makanan yang sedap sahaja. Berkahwinlah selalu dan binalah rumahmu di seluruh pelosok bumi ini."Anaknya seolah-olah tidak percaya dengan wasiat ayahnya itu. Tetapi mungkin juga ada sesuatu di sebalik kata-kata itu, fikirnya. Setelah ayahnya selesai dikebumikan dia berjumpa dengan seorang teman rapat ayahnya, lalu meminta penjelasan berkenaan kata-kata wasiat ayahnya itu dengan penuh sangsi."Ayahmu memang benar," kata teman ayahnya.Dia semakin bingung dengan jawapan itu lalu bertanya, "Apakah maksud pak cik?""Wasiat ayahmu yang pertama bermaksud janganlah engkau makan kecuali apabila telah benar-benar lapar, kerana apabila engkau sudah terlalu lapar engkau akan merasa makanan yang engkau makan itu begitu lazat dan engkau akan bersyukur dengannya.""Berkenaan wasiat ayahmu yang kedua pula, hendaklah kamu selalu berkelana, kerana apabila engkau bertemu semula dengan isterimu setelah lama terpisah, engkau akan berasa seperti baru berkahwin. Dan wasiat ketiganya, yang menyuruh engkau membina sebanyak-banyaknya rumah ialah, carilah sahabat seramai mungkin. Apabila engkau telah bersahabat dengan seseorang maka rumahnya akan menjadi seperti rumahmu sendiri dan rumahmu juga sudah seperti rumahnya."Setelah mendengar penjelasan itu barulah dia faham maksud sebenar dan kata-kata ayahnya, yang pada mulanya dianggap aneh itu. Memang luar biasa insan yang bergelar Lukmanul Hakim ini, katanya satu hikmahnya beribu.

Khamis, 14 Mei 2009

PANDUAN KEPADA IBUBAPA

MASALAH ANAK-ANAK

Encik Salam dan Puan Rokiah memiliki empat orang anak berusia antara 9 hingga 17 tahun. Kes ini hampir sama dengan kes ke-4. Bezanya ialah anak-anak pasangan Encik Salam dan Puan Rokiah ini tidak lari meninggalkan rumah. Anak-anak mereka sebaliknya semakin liar. Dewasa ini soal anak liar sudah kurang menjadi isu bukan kerana gejala sosial ini sudah susut. Tetapi tidak menjadi isu itu kerana sudah muak dengan isu yang sama tanpa penyelesaian yang konkrit.Encik Salam dan Puan Rokiah tetap memandang serius terhadap masalah anak-anak mereka. Antara sebab-sebabnya ialah mereka sangat prihatin terhadap gejala sosial. Mereka juga faham tentang tanggungjawab di sisi Tuhan terhadap anak-anak. Selain itu, mereka adalah keluarga berada, intelek serta sangat menaruh harapan agar anak-anak mereka berjaya di dunia dan akhirat. Encik Salam yang berjawatan tinggi di sebuah kementerian sangat merasa malu dengan sikap anak-anak. Sekurang-kurangnya rasa malu Encik Salam itu membuatkannya bersikap tegas dan keras. Lantaran rasa malu Encik Salam itu, biarpun hanyalah rasa malu fitrah dan bukan benar-benar rasa malu dari cabang keimanan, dia sanggup berbuat apa saja demi untuk menjadikan anak-anaknya kembali jinak.Antara usaha yang dibuat oleh Encik Salam dan Puan Rokiah ialah menghantar anak-anak mengikuti berbagai program motivasi. Cara ini adalah tambahan kepada program yang sedia ada iaitu menyediakan guru mengajar membaca Al Quran di rumah. Apa yang amat menghairankan mereka suami isteri ialah anak-anak mereka semakin degil, tidak taat,tidak mahu mendengar nasihat, suka menipu, melepak dan berhibur keterlaluan. Pelajaran mereka semakin merosot terutamanya yang berusia belasan tahun.Didikan agama yang diberikan termasuk juga kursus-kursus motivasi yang disertai oleh anak-anak mereka seolah-olah tidak berkesan membentuk akhlak mulia. Lazimnya anak-anak pegawai tinggi tidak bersikap demikian. Keadaan yang sudah di tahap kronik itu menjadi semakin buntu bila mana hubungan antara mereka dengan anak-anak semakin merosot.Encik Salam sendiri mengakui bahawa dia sering marah-marah terhadap sikap anak-anak mereka itu. Dia sendiri tahu bahawa kesabaran dan kasih sayang amat penting dalam rumah tangga terutamanya dalam mendidik anak-anak. Namun Encik Salam mengakui bahawa memang gagal untuk bersabar dan berlemah lembut. Puan Rokiah sering mengingatkan Encik Salam tentang kesabaran dan berlemah lembut namun ingatan Puan Rokiah itu tidak menjadi ubat untuk menyejukkan hati Encik Salam.Panduan yang diberikan kepada Encik Salam dan Puan RokiahPertama : mereka berdua selaku ibu bapa mesti benar-benar rasa bertanggungjawab terhadap amanah Tuhan yang serahkan kepada mereka iaitu diri sendiri dan anak-anak . Mereka sebagai faktor penentu kepada nasib masa depan anak-anak terutamanya di akhirat kelak, maka merekalah yang terlebih dahulu perlu mengubah sikap. Peribahasa Melayu mengatakan ‘bapa borek, anak rintek’ menggambarkan betapa anak-anak sangat dicorakkan oleh ibu bapa mereka.Kedua : Langkah pertama dan utama bahkan yang paling penting ialah bersangka baiklah terhadap Tuhan. Kena faham dan yakin sungguh bahawa Tuhan Maha Baik, yang amat luas anugerah dan rahmat-Nya. Terlalu banyak hikmah, iktibar dan pengajaran di sebalik setiap masalah. Sebahagian daripada hikmah-hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal dan tidak berupaya dijangkau oleh hati.Namun hikmah yang amat besar ertinya bagi seorang hamba yang ditimpa masalah ialah Tuhan seolah-olah menjentik atau mencubit atau mengetuk hatinya supaya berpaling kepada Tuhan. Melalui Tuhan hantarkan masalah kepada seseorang itu, seolah-olah Tuhan menggoncang hatinya yang sedang tidur atau lalai supaya membuka dan mencelikkan mata hatinya supaya kembali melihat Tuhan dengan segala kebesaran dan kekuasaanNya. Apakah yang lebih menumbuhkan rasa indah, nikmat dan seronok selain kepada kekasih yang dengan tindakannya itu dia akan menerima tindak balas. Begitulah seolah-olahnya masalah itu Tuhan memberi satu cubitan supaya hati hamba-hamba-Nya kembali memberi perhatian kepada Tuhan. Melalui cara itulah nanti manusia akan sedar, insaf dan kembali memiliki rasa kehambaan. Rasa lemah, dhaif, lalai, leka, berdosa, bersalah, durhaka dan sebagainya. Sekaligus akan bertambah rasa bertuhan, merasai Tuhan Maha Besar, Maha Sempurna, Maha Pencipta, Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.Adanya ilmu, kefahaman, kesedaran dan keyakinan begini, kalau pun masalah belum boleh di atasi, hati menjadi tenang. InsyaAllah akan diiringi pula dengan tindakan-tindakan yang juga tenang serta tidak gopoh. Kesabaran akan meningkat, kasih sayang pula lebih mudah dicetuskan.Ketiga : adakalanya masalah anak-anak seumpama yang berlaku kepada Encik Salam dan Puan Rokiah ini adalah kifarah dari Tuhan. Ertinya di atas dosa-dosa dan kesalahan ibu bapa, maka Tuhan akan turunkan isyarat melalui anak-anak. Dengan kata lain Tuhan turunkan isyarat bahawa masalah anak-anak itu sebenarnya berpunca dari ibu bapa mereka. Andainya ibu bapa dapat merasakan yang demikian itu, iainya suatu petanda awal Tuhan akan lakukan perubahan terhadap anak-anak mereka.Sebagai langkah susulan kepada kesedaran tersebut, ibu bapa hendaklah membaiki diri, seperti;a. Bertaubat terhadap segala dosa-dosa, samaada dosa besar, dosa kecil, dosa dahulu, dosa yang akan datang, dosa yang diketahui, dosa yang tidak diketahui, dosa yang disengajakan, dosa yang disedari atau dosa yang tidak disedari. Lebih-lebih lagi dosa batin yang jauh berganda-ganda lebih banyak.b. Menebus dosa dengan memperbanyakkan sedekah. Sedekah pula disertai dengan niat agar Tuhan merahmati seluruh keluarga terutama anak-anak liar itu. Buatlah sedekah ini secara istiqamah biarpun dalam jumlah yang sedikit.c. Memohon maaf dengan sesiapa yang dirasai pernah berbuat dosa atau kezaliman terutama terhadap guru-guru dan ibu bapa. Sekiranya orang-orang tersebut telah meninggal dunia, maka hadiahkan Surah al Fatihah sebanyak mungkin dan mohon keampunan dari Tuhan terhadap dosa-dosa mereka. Termasuk mohon ampun dari Tuhan terhadap dosa-dosa kita kepada mereka itu.d. Kasih sayang adalah fitrah manusia. Pengganas sekalipun tetap menyukai andainya orang lain menyayangi dirinya. Kasih sayang juga adalah salah satu faktor kebahagiaan hidup manusia. Siapa sahaja yang kehilangan kasih sayang pasti sahaja menanggung perasaan resah, derita dan tertekan. Tidak hairanlah mengapa manusia kini mudah bersikap keras, kasar, pemarah, bengis, kurang sabar, nafsi-nafsi serta mudah bertindak liar. Tidak lain dan tidak bukan kerana seluruh dunia sudah ketandusan kasih sayang. Anak-anak liar, selain tiada didikan mencintai Tuhan, tiada didikan iman dan taqwa, mereka juga sudah tidak mengecapi nikmat kasih sayang dari keluarga dan masyarakat, terutamanya dari ibu bapa dan guru-guru. Sedangkan kasih sayang adalah senjata yang amat berkesan untuk menjinakkan hati manusia.Sikap ibu bapa yang paling ketara yang mesti ditunjukkan ialah kasih sayang. Untuk tempoh tertentu, buat sementara waktu, lebih baik kurangkan bercakap yang berbentuk teguran, jauh sekali kata-kata kesat atau marah. Untuk merapatkan kembali hubungan, adakan program bersama di rumah atau di luar rumah. Program di rumah umpamanya, pada hujung minggu adakan kenduri dengan menjemput jiran-jiran dan saudara mara. Libatkan anak-anak. Di luar rumah umpamanya, menziarahi saudara mara yang tinggal jauh, melancong atau makan angin. Elakkan sebarang topik yang berat atau serius, atau dalam suasana yang tegang. Bercakap perkara-perkara yang tiada kaitan dengan hal-hal peribadi anak-anak yang liar itu.e. Encik Salam dan Puan Rokiah sudah banyak kali mengalirkan air mata dalam menzahirkan harapan yang begitu tinggi terhadap anak-anak mereka agar berubah. Mereka ingin anak-anak turut merasai betapa perihatinnya ibu bapa terhadap masa depan anak-anak. Namun dengan cara yang demikian rupa, disambut amat dingin oleh anak-anak mereka.Kali ini, Encik Salam dan Puan Rokiah diminta supaya tidak mengulangi lagi cara yang demikian itu. Yang lebih utama bukan merintih menangis di hadapan anak-anak. Biar pun anak-anak tidak tahu, adalah lebih baik mereka merintih banyak-banyak dengan sepenuh hati kepada Tuhan. Gantungkan sepenuh harapan kepada Tuhan, kerana Tuhan itu segala-galanya. Tuhan tidak pernah menghampakan harapan harapan para hamba. Andainya harapan tidak juga ditunaikan kerana itu adalah hak mutlak Tuhan, namun hamba-hamba yang bersandar kepada Tuhan tidaklah sampai kehilangan Tuhan dalam kegagalan. Tidak kecewa dan tidak putus asa dalam kegagalan. Dengan lain perkataan, inilah ciri-ciri orang yang bahagia dalam semua situasi.

DARIPADA IKHWAN GLOBAL

Rasulullah Yang Ummi

Ulasan Maksud Ummiy oleh Ustaz Hj Ashaari Muhammad :
Semoga Allah mengampunkan kita di atas salah tanggapan dan salah tafsir terhadap status baginda Rasulullah SAW sebagai seorang rasul yang ummiy. Selama ini kita difahamkan bahawa ummiy itu bererti orang yang tidak tahu membaca dan menulis, atau dalam istilah lain, buta huruf. Jika begitu fahaman kita ertinya kita menganggap baginda orang yang tidak belajar atau seorang yang bodoh. Ensiklopedia Barat juga mendefinisikan Nabi Muhammad sebagai seorang yang illiterate. Bagi orang yang tidak prihatin, hal ini mungkin tidak menjadi apa-apa masalah baginya, tapi bagi yang prihatin, yang hatinya terbuka dan sensitif, akan merasakan seolah-olah ada yang tidak kena dengan maksud ummiy itu. Mana mungkin seorang rasul yang kemuliaannya sampai namanya digandingkan dengan nama Tuhan, dikatakan buta huruf.
Maksudnya:
”(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, nabi yang ummiy yang (namanya) mereka dapati tertulis dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka…” (Al A’raf: 157)
Sebenarnya yang dimaksudkan ummiy itu ialah orang yang belajar secara luar biasa, bukan mengikut kaedah biasa atau belajar secara proses biasa. Tujuan belajar adalah supaya menjadi pandai, dengan mengisi ilmu kepada akal dan roh. Itulah hakikatnya. Jika akal dan roh tidak diisi dengan ilmu maka seseorang itu tidak akan dapat menjadi pandai.Orang yang hendak menjadi pandai secara biasa, kenalah melahirkan sebab lahiriah untuk mencapai matlamatnya. Contohnya melalui menulis, membaca, berguru, belajar di sekolah dan lain-lain. Bagi orang biasa, jika tidak mengikut kaedah ini, maka tidak akan menjadi pandai. Itulah lumrahnya. Tetapi itu adalah proses untuk manusia biasa.
Oleh kerana Rasulullah itu orangnya luar biasa, Allah pandaikan baginda tanpa melalui proses biasa. Demikianlah Maha Besarnya Tuhan, Rasulullah dipandaikan melalui proses luar biasa. Jadi Rasulullah sebenarnya seorang yang belajar tidak secara biasa tapi secara luar biasa. Rasulullah belajar tetapi tidak perlu menulis, membaca, berguru atau belajar di sekolah. Oleh itu sama sekali tidak benar jika dikatakan Rasulullah tidak belajar. Sebenarnya maksud Rasulullah SAW itu ummiy ialah baginda itu tidak perlu kepada membaca dan menulis.
PERBAHASAN UMMIY
Mari kita bahaskan pula perkataan ummiy itu. Ummiy didasarkan kepada ‘ibu’.
1. Ibu kalau dibahaskan secara lahir ia merupakan punca zuriat kerana ibu melahirkan. Jika tidak ada ibu, mana mungkin dapat melahirkan zuriat.
2. Bagi yang tidak bernyawa, ada juga yang disebut ibu. Contohnya, ibu roti. Daripada ibu rotilah dapat hasilkan roti. Itu disebut ibu juga.
3. Ibu secara batin atau maknawi pula mempunyai erti yang lebih hebat. Ibu dan ayah pada diri kita ialah akal dan roh. Tanpa akal dan roh, tiada erti apa-apa. Sebab itulah Allah terus bagi ilmu pada Rasulullah tanpa menggunakan alat. Itulah sebabnya Rasulullah dikatakan ummiy iaitu belajar secara terus dari Tuhan. Allah terus campakkan ilmu pada ibu dirinya iaitu akal dan rohnya. Oleh itu salah besarlah jika dikatakan Rasulullah tidak belajar.
Rupa-rupanya begitu hebat Allah memproses hamba-hamba yang dikehendaki-Nya dengan cara dipandaikan tanpa melalui proses belajar secara biasa. Itulah sebenarnya mukjizat Rasulullah yang cukup agung dan hebat. Ummiy itu adalah lambang kebesaran Rasulullah sebenarnya. Layaklah Rasulullah itu dikatakan ibu, kerana baginda ialah ibu segala ilmu, ibu segala kebaikan, ibu kepada perjuangan, ibu kasih sayang, ibu perpaduan dan lain-lain lagi kerana daripada segala ibu itulah, lahir ilmu, kebaikan, perpaduan, kasih sayang, perjuangan dan lain-lain.
Firman Allah SWT di dalam Al Quran:Maksudnya:
“Dan sesungguhnya Al Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam. Ia dibawa turun oleh Ar Ruhul Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan.” (Asy Syu’ara: 192-194)
Malah yang membenarkan dan melayakkan lagi baginda menjadi ibu berlandaskan gelaran ummiy tersebut ialah kerana rohnya atau Nur Muhammad adalah ciptaan Tuhan yang pertama. Dan dari kerana kebesaran dan kemuliaan Nur Muhammad inilah diciptakan langit dan bumi, haiwan, tumbuhan, Syurga, Neraka dan lain-lain. Begitulah hebat dan mulianya Rasulullah hinggakan Baginda dilantik menjadi Penghulu manusia dan namanya diangkat sebaris dengan nama Tuhannya.
MUSUH-MUSUH ISLAM MENGELIRUKAN MAKSUD UMMIY
Musuh-musuh Islam terutama Yahudi dan puak orientalis sebenarnya sangat kenal siapa Rasulullah. Kehebatan dan kemuliaannya ada dalam pengetahuan dan kajian mereka. Lalu mereka cuba mengelirukan dan mengelabukan pemikiran umat Islam dengan mengatakan bahawa:
“Rasulullah itu ummiy yakni tidak tahu membaca dan menulis untuk membuktikan bahawa Al Quran itu bukan dari tulisan Rasulullah.”
Nampak macam logik dan rasional hujah tersebut. Tapi sebenarnya mereka menutup maksud ummiy yang sebenar yang memperlihatkan kehebatan Rasulullah SAW. Akhirnya umat Islam dari generasi ke generasi beranggapan Rasulullah itu buta huruf, dan kesan psikologi terhadap pemahaman palsu ini menyebabkan umat Islam menjadi umat yang mundur. Bukan setakat miskin ilmu, harta, kemajuan dan lain-lain tetapi yang lebih parah dari itu ialah miskin iman.
Usaha-usaha untuk memperkecilkan martabat Rasulullah SAW memang telah sekian lama dirancang oleh para musuh Islam. Mereka sengaja hendak memperlihatkan Rasulullah sebagai tidak bertamadun agar umat Islam juga akan mencontohinya. Kebesaran dan kemuliaan Rasulullah cuba ditutup dan disembunyikan.
Untuk memperlihatkan dengan lebih jelas bahawa ummiy adalah satu mukjizat besar Rasulullah dan bukannya buta huruf, mari kita bahas lagi.
Mari kita lihat pula kaedah menuntut ilmu melalui proses luar biasa ini. Rasulullah itu digelar ummiy kerana padanya diberikan ibu segala ilmu. Sepertimana Al Fatehah dikatakan Ummul Kitab, kerana di dalamnya adalah intipati seluruh Al Quran, begitu jugalah dengan Rasulullah, di mana wahyu yang diturunkan kepadanya adalah ibu segala ilmu. Oleh kerana apa yang dianugerahkan kepada Rasulullah itu adalah ibu segala ilmu, ia tidak boleh diterima melalui proses biasa. Ibarat seorang yang ingin mengail ikan yang besar, mestilah menyediakan mata kail yang besar dan kuat, umpan yang baik, tali kail yang teguh dan tahan serta peralatan yang gagah dan sesuai dengan ikan yang hendak dikail.Begitu jugalah bagi seseorang yang ingin memperolehi ilmu luar biasa dari Tuhan sepertimana Rasulullah mendapat wahyu. Tidak cukup sekadar melalui proses biasa dengan menggunakan pancaindera. Ilmu wahyu yang Allah anugerahkan pada baginda diajar terus kepada ibu dirinya iaitu akal dan rohnya. Ilmunya bukan dari sumber membaca dan menulis.

Disalin daripada Heliconia.wordpres.

PENDIDIKAN AWAL DAN PEMULIHAN BACAAN

Assalamualaikum;

Era angkasalepas memungkinkan kita merasakan bahawa kehidupan kini terlalu canggih dan berada pada tahap yang tinggi. Namun begitu, hakikat kehidupan ini tidak dapat menyangkal bahawa pendidikan awal kanak-kanak dan pemulihan bacaan terlalu penting untuk tidak diperdulikan. Langkah-langkah kemajuan bermula daripada pendidikan awal dan turutannya akan gagal kerana tersasar kesinambungan dengan kecenderungan bacaan sebagai satu elemen yang wajib kepada individu telah terabai oleh pelbagai masalah.

Terarah daripada itu maka penyatuan pendidikan awal kanak-kanak dalam bidang pendidikan bukan secara menyeluruh tetapi menginginkan supaya bacaan menjadi fardu ain kepada manusia yang tidak mampu menguasai ilmu secara ilham terus daripada Allah SWT. Allah SWT telah menurunkan ayat Quran yang pertama berkaitan dengan kepentingan bacaan.

Masalah pendidikan awal kini mungkin terarah kepada falsafah yang mendasari pemikiran pembentukan kurikulum pengajaran pendidikan awal kanak-kanak. Oleh itu, di mana kita samada untuk tujuan sebagai memenuhi keperluan perjalanan dunia ini mencapai kemajuan yang berbentuk material, persoalan akhirat sebagai penganut agama hak atau agama batil dan rangkuman kepada kedua-duanya yang merupakan rojak. maka, persoalannya kita mungkinkah rojak yang akan mampu dimakan sendiri atau akan diratah. Persoalannya, kita sebagai manusia bertindak kepada asas kepercayaan yang diterima daripada ibu bapa kita atau persekityaran yang lebih mendominasi kepada pembentukan kepercayaan kita.

Hakikat yang tidak boleh nafikan adalah bacaan merupakan pencorak dan alat utama yang menjadi perantaraan penerimaan ilmu. sejajar dengan itu, kepentingan pemulihan bacaan untuk kanak-kanak dan semestinya individu sebagai manusia perlu dipertimbangkan sebagai satu kewajipan.

Kita ialah manusia, maka tanggungjawab manusia bukan setakat makan minum, tidur, mengawan dan sekadar perebutan memenuhi sifat-sifat kehaiwanan atau kebinatangan. Tentunya, sifat kemanusiaan itu subjektif tetapi objektif jika manusia sedar ia adalah manusia.