Khamis, 14 Mei 2009

PANDUAN KEPADA IBUBAPA

MASALAH ANAK-ANAK

Encik Salam dan Puan Rokiah memiliki empat orang anak berusia antara 9 hingga 17 tahun. Kes ini hampir sama dengan kes ke-4. Bezanya ialah anak-anak pasangan Encik Salam dan Puan Rokiah ini tidak lari meninggalkan rumah. Anak-anak mereka sebaliknya semakin liar. Dewasa ini soal anak liar sudah kurang menjadi isu bukan kerana gejala sosial ini sudah susut. Tetapi tidak menjadi isu itu kerana sudah muak dengan isu yang sama tanpa penyelesaian yang konkrit.Encik Salam dan Puan Rokiah tetap memandang serius terhadap masalah anak-anak mereka. Antara sebab-sebabnya ialah mereka sangat prihatin terhadap gejala sosial. Mereka juga faham tentang tanggungjawab di sisi Tuhan terhadap anak-anak. Selain itu, mereka adalah keluarga berada, intelek serta sangat menaruh harapan agar anak-anak mereka berjaya di dunia dan akhirat. Encik Salam yang berjawatan tinggi di sebuah kementerian sangat merasa malu dengan sikap anak-anak. Sekurang-kurangnya rasa malu Encik Salam itu membuatkannya bersikap tegas dan keras. Lantaran rasa malu Encik Salam itu, biarpun hanyalah rasa malu fitrah dan bukan benar-benar rasa malu dari cabang keimanan, dia sanggup berbuat apa saja demi untuk menjadikan anak-anaknya kembali jinak.Antara usaha yang dibuat oleh Encik Salam dan Puan Rokiah ialah menghantar anak-anak mengikuti berbagai program motivasi. Cara ini adalah tambahan kepada program yang sedia ada iaitu menyediakan guru mengajar membaca Al Quran di rumah. Apa yang amat menghairankan mereka suami isteri ialah anak-anak mereka semakin degil, tidak taat,tidak mahu mendengar nasihat, suka menipu, melepak dan berhibur keterlaluan. Pelajaran mereka semakin merosot terutamanya yang berusia belasan tahun.Didikan agama yang diberikan termasuk juga kursus-kursus motivasi yang disertai oleh anak-anak mereka seolah-olah tidak berkesan membentuk akhlak mulia. Lazimnya anak-anak pegawai tinggi tidak bersikap demikian. Keadaan yang sudah di tahap kronik itu menjadi semakin buntu bila mana hubungan antara mereka dengan anak-anak semakin merosot.Encik Salam sendiri mengakui bahawa dia sering marah-marah terhadap sikap anak-anak mereka itu. Dia sendiri tahu bahawa kesabaran dan kasih sayang amat penting dalam rumah tangga terutamanya dalam mendidik anak-anak. Namun Encik Salam mengakui bahawa memang gagal untuk bersabar dan berlemah lembut. Puan Rokiah sering mengingatkan Encik Salam tentang kesabaran dan berlemah lembut namun ingatan Puan Rokiah itu tidak menjadi ubat untuk menyejukkan hati Encik Salam.Panduan yang diberikan kepada Encik Salam dan Puan RokiahPertama : mereka berdua selaku ibu bapa mesti benar-benar rasa bertanggungjawab terhadap amanah Tuhan yang serahkan kepada mereka iaitu diri sendiri dan anak-anak . Mereka sebagai faktor penentu kepada nasib masa depan anak-anak terutamanya di akhirat kelak, maka merekalah yang terlebih dahulu perlu mengubah sikap. Peribahasa Melayu mengatakan ‘bapa borek, anak rintek’ menggambarkan betapa anak-anak sangat dicorakkan oleh ibu bapa mereka.Kedua : Langkah pertama dan utama bahkan yang paling penting ialah bersangka baiklah terhadap Tuhan. Kena faham dan yakin sungguh bahawa Tuhan Maha Baik, yang amat luas anugerah dan rahmat-Nya. Terlalu banyak hikmah, iktibar dan pengajaran di sebalik setiap masalah. Sebahagian daripada hikmah-hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal dan tidak berupaya dijangkau oleh hati.Namun hikmah yang amat besar ertinya bagi seorang hamba yang ditimpa masalah ialah Tuhan seolah-olah menjentik atau mencubit atau mengetuk hatinya supaya berpaling kepada Tuhan. Melalui Tuhan hantarkan masalah kepada seseorang itu, seolah-olah Tuhan menggoncang hatinya yang sedang tidur atau lalai supaya membuka dan mencelikkan mata hatinya supaya kembali melihat Tuhan dengan segala kebesaran dan kekuasaanNya. Apakah yang lebih menumbuhkan rasa indah, nikmat dan seronok selain kepada kekasih yang dengan tindakannya itu dia akan menerima tindak balas. Begitulah seolah-olahnya masalah itu Tuhan memberi satu cubitan supaya hati hamba-hamba-Nya kembali memberi perhatian kepada Tuhan. Melalui cara itulah nanti manusia akan sedar, insaf dan kembali memiliki rasa kehambaan. Rasa lemah, dhaif, lalai, leka, berdosa, bersalah, durhaka dan sebagainya. Sekaligus akan bertambah rasa bertuhan, merasai Tuhan Maha Besar, Maha Sempurna, Maha Pencipta, Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.Adanya ilmu, kefahaman, kesedaran dan keyakinan begini, kalau pun masalah belum boleh di atasi, hati menjadi tenang. InsyaAllah akan diiringi pula dengan tindakan-tindakan yang juga tenang serta tidak gopoh. Kesabaran akan meningkat, kasih sayang pula lebih mudah dicetuskan.Ketiga : adakalanya masalah anak-anak seumpama yang berlaku kepada Encik Salam dan Puan Rokiah ini adalah kifarah dari Tuhan. Ertinya di atas dosa-dosa dan kesalahan ibu bapa, maka Tuhan akan turunkan isyarat melalui anak-anak. Dengan kata lain Tuhan turunkan isyarat bahawa masalah anak-anak itu sebenarnya berpunca dari ibu bapa mereka. Andainya ibu bapa dapat merasakan yang demikian itu, iainya suatu petanda awal Tuhan akan lakukan perubahan terhadap anak-anak mereka.Sebagai langkah susulan kepada kesedaran tersebut, ibu bapa hendaklah membaiki diri, seperti;a. Bertaubat terhadap segala dosa-dosa, samaada dosa besar, dosa kecil, dosa dahulu, dosa yang akan datang, dosa yang diketahui, dosa yang tidak diketahui, dosa yang disengajakan, dosa yang disedari atau dosa yang tidak disedari. Lebih-lebih lagi dosa batin yang jauh berganda-ganda lebih banyak.b. Menebus dosa dengan memperbanyakkan sedekah. Sedekah pula disertai dengan niat agar Tuhan merahmati seluruh keluarga terutama anak-anak liar itu. Buatlah sedekah ini secara istiqamah biarpun dalam jumlah yang sedikit.c. Memohon maaf dengan sesiapa yang dirasai pernah berbuat dosa atau kezaliman terutama terhadap guru-guru dan ibu bapa. Sekiranya orang-orang tersebut telah meninggal dunia, maka hadiahkan Surah al Fatihah sebanyak mungkin dan mohon keampunan dari Tuhan terhadap dosa-dosa mereka. Termasuk mohon ampun dari Tuhan terhadap dosa-dosa kita kepada mereka itu.d. Kasih sayang adalah fitrah manusia. Pengganas sekalipun tetap menyukai andainya orang lain menyayangi dirinya. Kasih sayang juga adalah salah satu faktor kebahagiaan hidup manusia. Siapa sahaja yang kehilangan kasih sayang pasti sahaja menanggung perasaan resah, derita dan tertekan. Tidak hairanlah mengapa manusia kini mudah bersikap keras, kasar, pemarah, bengis, kurang sabar, nafsi-nafsi serta mudah bertindak liar. Tidak lain dan tidak bukan kerana seluruh dunia sudah ketandusan kasih sayang. Anak-anak liar, selain tiada didikan mencintai Tuhan, tiada didikan iman dan taqwa, mereka juga sudah tidak mengecapi nikmat kasih sayang dari keluarga dan masyarakat, terutamanya dari ibu bapa dan guru-guru. Sedangkan kasih sayang adalah senjata yang amat berkesan untuk menjinakkan hati manusia.Sikap ibu bapa yang paling ketara yang mesti ditunjukkan ialah kasih sayang. Untuk tempoh tertentu, buat sementara waktu, lebih baik kurangkan bercakap yang berbentuk teguran, jauh sekali kata-kata kesat atau marah. Untuk merapatkan kembali hubungan, adakan program bersama di rumah atau di luar rumah. Program di rumah umpamanya, pada hujung minggu adakan kenduri dengan menjemput jiran-jiran dan saudara mara. Libatkan anak-anak. Di luar rumah umpamanya, menziarahi saudara mara yang tinggal jauh, melancong atau makan angin. Elakkan sebarang topik yang berat atau serius, atau dalam suasana yang tegang. Bercakap perkara-perkara yang tiada kaitan dengan hal-hal peribadi anak-anak yang liar itu.e. Encik Salam dan Puan Rokiah sudah banyak kali mengalirkan air mata dalam menzahirkan harapan yang begitu tinggi terhadap anak-anak mereka agar berubah. Mereka ingin anak-anak turut merasai betapa perihatinnya ibu bapa terhadap masa depan anak-anak. Namun dengan cara yang demikian rupa, disambut amat dingin oleh anak-anak mereka.Kali ini, Encik Salam dan Puan Rokiah diminta supaya tidak mengulangi lagi cara yang demikian itu. Yang lebih utama bukan merintih menangis di hadapan anak-anak. Biar pun anak-anak tidak tahu, adalah lebih baik mereka merintih banyak-banyak dengan sepenuh hati kepada Tuhan. Gantungkan sepenuh harapan kepada Tuhan, kerana Tuhan itu segala-galanya. Tuhan tidak pernah menghampakan harapan harapan para hamba. Andainya harapan tidak juga ditunaikan kerana itu adalah hak mutlak Tuhan, namun hamba-hamba yang bersandar kepada Tuhan tidaklah sampai kehilangan Tuhan dalam kegagalan. Tidak kecewa dan tidak putus asa dalam kegagalan. Dengan lain perkataan, inilah ciri-ciri orang yang bahagia dalam semua situasi.

DARIPADA IKHWAN GLOBAL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan